Thursday, August 18, 2011

Siapa Aku???

بسم الله الرحمن الرحيم



Siapa aku??? Persoalan itu sering saja timbul di lubuk hati yang sangat dalam. Ia datang tanpa diundang, dan ia pergi juga tanpa dihantar. Kehidupan dikampus kadang kala menyebabkan diri ini sering cuba memencilkan diri dari semua orang. Aku seringkali sahaja mencuba untuk menghalang persoalan itu dari bermain-main di lubuk hati dan pikiranku tapi keadaan sekeliling menyebabkan ia selalu dipersoalkan. Keadaan apa yang membuatkan ia muncul, biarlah ia menjadi rahsia diantara seorang hamba dengan Penciptanya. Siapa aku kepada mereka??Kenapa aku diperlakukan sebegini?? Adakah aku hanya membawa masalah kepada mereka?? Kenapa aku tidak boleh menjadi seperti mereka?? Mengapa mereka berbuat begitu?? Apa yang mereka pikirkan tentang aku??Kenapa??Mengapa?? Bagaimana??Persoalan demi persoalan seringkali timbul dikala aku memerhatikan perwatakan, perilaku dan perbuatan manusia di sekelilingku. Pernah suatu ketika aku ingin meluahkan segala yang terpendam di dalam hati ini, tetapi aku tidak mahu perkara yang tidak diingini berlaku akibat tindakanku yang dikatakan terburu-buru.


Adakah ini yang dikata oleh kawan-kawan dengan "masalah hati". Hasad dengki, cemburu, iri hati, dendam dan sebagainya adalah antara "masalah hati" yang tidak disukai Allah dari muncul dalam hati hamba-hambaNya. "Masalah hati" seperti ini akan menyebabkan gerak kerja terbantut malah ia juga mampu menyebabkan sesebuah tali persahabatan mahupun persaudaraan terputus begitu sahaja akibat menum pukan semata-mata dengan masalah ataupun persoalan yang menjurus kepada "masalah hati". Nau'zubillah min zalik. Namun ada juga "masalah hati" yang membawa kebahagiaan kepada seseorang iaitu perasaan suka atau cinta. Pasti ada yang keliru kenapa dikatakan dengan "masalah hati". Bukankah "masalah hati" itu berkaitan dengan masalah kesihatan?? Memang secara spesifiknya "masalah hati" itu berkaitan dengan masalah kesihatan, tetapi dalam konteks ini "masalah hati" ini berkaitan perasaan yang timbul di lubuk hati seorang manusia. Perasaan seseorang manusia muncul tanpa kita duga. Semuanya adalah kurniaan Allah kepada hamba-hambaNya agar mampu berkasih sayang sesama mereka.


Berbalik kepada tajuk entry ini, dipendekkan cerita, persoalan itu telah cuba dipendamkan tetapi fitrah manusia tidak mampu dihalang, diri yang lemah ini tidak mampu untuk memendamnya lagi. Akhirnya aku bertanya soalan itu kepada kawan yang aku yakin dapt berkongsi masalah. Jawapan yang diberikan sedikit sebanyak dapat meredakan perasaan di hati. Katanya, "setiap sesuatu yang berlaku kapada diri kita samada baik ataupun buruk pasti ada hikmahnya. Setiap yang terjadi anggaplah ujian dariNya untuk menguji sejauh mana keimanan dan kebergantungan kita kepadaNya di saat diri kita susah mahupun senang. Allah tidak akan menimpakan sesuatu ujian yang hambanya tidak mampu untuk memikulnya. Sebesar atau seberat mana ujian itu bergantung kepada tahap keimanan kita kepada Allah. Tidak kira apapun yang mereka lakukan kepada diri kamu, janganlah dipikirkan sangat sehingga mengganggu kamu, kerana yakinlah pada diri apa yang kita lakukan adalah kerana Allah. Sebaik-baik tempat kita mengadu adalah kepada Allah kerana Allah Maha Mengetahui Maha Penyayang. Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya.".


Tetapi, persoalan demi persoalan tidak pernah berhenti mempersoalkan perkara yang terjadi kepada diri ini. Namun, sedikit demi sedikit aku cuba membina kekuatan diri agar tidak hanya tertumpu kepada persoalan-persoalan tersebut. Apa yang mampu aku lakukan ialah menilai balik diri ini sejauh mana diri ini mendekatkan diri kepada Allah. Setiap amal ibadah yang dilakukan adakah cukup untuk dijadikan bekalan di akhirat nanti. Dengan menilai setiap amalan yang dilakukan, setiap tingkah laku diri, sedikit sebanyak dapat mengubat hati yang penuh dengan tanda tanya ini. Walaupun diriku masih lagi lemah dalam menghadapi semua yang menimpaku, tapi setiap kali persoalan yang sama muncul kerana keadaan yang menimpa diri, aku cuba meyakinkan diri untuk bersangka baik dengan setiap perkara yang berlaku. Dengan ini, aku tidak lagi bersusah hati memikirkan tentang perkara yang menyebabkan diri ini sedih atau marah. Bagiku airmata merupakan "peneman" yang setia di saat aku terasa tidak mampu hadapi semua masalah yang menimpa diri. Airmata merupakan satu anugerah Allah yang indah kerana airmata mampu mengubati hati yang duka, tanda kebergantungan kita kepadaNya.


Semoga setiap perkara yang melanda diri ini mampu dihadapi dengan kuat, tabah, sabar dan redha dengan semua ketentuanMu ya Allah. Berilah hamba kekuatan dalam menghadapi semua ujianMu ya Allah. Permudahkanlah segala urusan hamba ya Allah. Sesungguhnya Engkau Maha Pengasih Maha Penyayang. Amin...



No comments:

Post a Comment