Sunday, September 12, 2010

Suara Hati Lelaki Penghuni Syurga

Wanita solehah, cerminan Ainul Mardiah...

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Harta yang paling berharga di dunia adalah wanita yang solehah." HR Muslim

Ramai manusia menisbahkan kemulian wanita pada kecantikan semata mata, ada juga yang menisbahkan kemuliaan mereka pada kekayaan, dan tidak kurang juga pada keturunan, tetapi ini semua adalah penilaian oleh insan yang buta mata hatinya... Kemuliaan semua makhluk Allah adalah terletak pada nur taqwa..

Wanita adalah makhluk Allah yang amat istimewa. Kemuliaan dan keruntuhan sesuatu bangsa terletak di tangan wanita, walaupun mereka diselubungi kelemahan, tapi teriakan mereka mampu merubah segalanya.

Oleh yang demikian, Allah telah menetapkan hukumnya ke atas mereka; walaupun berat di pandangan mata si jahil dan ingkar tetapi ia adalah kemanisan iman yang dicicip oleh wanita solehah.

Kerana itulah...

Sebagai anak, dia menjadi anak yang solehah...

Sebagai isteri, dia menjadi isteri yang menyenangkan dan menenangkan hati suaminya...

Sebagai ibu, dia akan mendidik anaknya dengan penuh kasih sayang..dan pastinya sebagai hamba Allah, dia akan menjadi hamba yang tunduk dan menyerah diri hanya kepada-Nya...

Firman Allah dalam surah an-Nisa': 24

"Barangsiapa yang mengerjakan amalan yang soleh baik lelaki mahupun wanita sedang ia seorang yang beriman maka mereka itu masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiaya walau sedikitpun."

Dalam Islam wanita amat dihormati dan dihargai peranannya. Sebagaimana eratnya hubungan siang dan malam yang saling melengkapi, begitu juga lelaki dan wanita diciptakan untuk saling melengkapi.

Setiap lelaki dan wanita memiliki tugas-tugas dan kewajipan-kewajipan yang berlainan, sesuai dengan fitrah masing-masing. Namun, matlamat hidup setiap lelaki dan wanita adalah sama, iaitu mencari redha Allah, Mardhatillah.

Rasulullah s.a.w telah memerintahkan supaya kaum wanita diperlakukan menurut fitrah ia dijadikan sebagaimana dalam sabdanya yang bermaksud...

"Berlaku baiklah terhadap kaum wanita lantaran mereka diciptakan dari tulang rusuk yang bengkok adalah bahagian yang teratas, jika kamu cuba untuk meluruskannya kamu akan mematahkannya dan jika kamu membiarkannya ia akan tetap bengkok, maka berlaku baiklah terhadap kaum wanita kamu." Al-Bukhary dan Muslim

Nilai wanita bukan terletak pada pakaiannya yang menonjol, berhias diri untuk memperlihatkan kecantikannya, tetapi hakikatnya ialah pada kesopanan, rasa malu dan keterbatasan dalam pergaulan.

Wanita solehah itu adalah wanita yg tegar menjaga maruahnya,serta apa yang lahir dari dirinya, dari hujung rambut hingga hujung kaki, termasuklah wajahnya, suaranya, senyum tawanya, jalannya,tulisannya hatta namanya sekalipun, wajahnya bukan aurat,tapi ada kalanya ia menjadi aurat.

Dalam mazhab syafie ada khilafnya.. berdasarkan ayat dalam surah an-Nur, 30.

Allah melarang wanita beriman menunjukkan perhiasannya,kecuali apa yang telah zahir daripadanya.

Ulama Syafie berpendapat makna "apa yang zahir daripadanya" adalah muka dan tapak tangan, tetapi bagi wajah yang boleh mengundang fitnah, ia tetap menjadi aurat, wanita yang khuatir wajahnya boleh melalaikan lelaki yang memandangnya pasti akan menganggapnya sebagai aurat, lalu mengenakan purdah pada wajahnya, mungkin berat bagi wanita bergelar remaja untuk mengamalkannya, tapi cukuplah dengan tidak terlalu menonjolkan diri mereka di hadapan ajnabi atau tidak menjadikan wajah mereka sebagai paparan umum seperti friendster, facebook dan lain-lain.

Suaranya bukan aurat, tapi ada kalanya ia menjadi aurat. Wanita yang memahami erti kesolehan tidak akan melembutkan suaranya di hadapan ajnabi, kerna memahami perintah Allah s.w.t padanya dalam surah al-Ahzab ayat: 33."

Maka janganlah kamu melemah lembutkan suara dalam bebicara sehingga bangkit nafsu orang yang ada penyakit hatinya".

Jadi, bertegaslah apabila berurusan dengan lelaki ajnabi, pergaulan yang betul telah Allah ajarkan melalui kisah dua orang puteri Nabi Syuib.

Bagaimana mereka ketika ingin memberi minum haiwan ternakan, mereka dapati ramai pengembala di sumur. Hajat mereka tidak kesampaian.

Nabi Musa a.s telah mengambil alih tugas mereka memberi minum kepada binatang ternak mereka, apabila selesai memberi minum haiwan ternakan tersebut, salah seorang daripada puteri tersebut mendatangi Nabi Musa a.s dengan keadaan malu untuk menyampaikan pesanan ayahnya menjemput Nabi Musa a.s ke rumahnya.(surah al-Qasas: 23-25)

Daripada peristiwa ini, Allah menggambarkan wanita solehah itu adalah wanita yang tidak memdedahkan dirinya pada pandangan umum. Apabila ia berurusan dgn lelaki ajnabi, maka ia akan tunduk dan melahirkan rasa malu.

Berurusanlah dengan ajnabi tanpa mendatangkan keadaan khalwat(berdua-duaan).

Khalwat paling mudah berlaku dalam hubungan cinta terlarang. Khalwat juga adalah bunga-bunga perzinaan.

Berbual-bual di telefon atau s.m.s antara lelaki dan wanita kerana dasar cinta terlarang juga dikira sebagai khalwat kerana ia berlaku secara berdua - duaan..fikirkanlah.

Saidina Umar r.a berkata, "Aku lebih rela berjalan di belakang seekor singa daripada berjalan di belakang seorang wanita".

Seorang wanita solehah tidak akan membiarkan lelaki berjalan di belakangnya, kerna ia faham seribu satu fitnah boleh timbul daripada keadaan tersebut.

Bagaimana pula keadaan wanita yang tidak melabuhkan jilbabnya apabila lelaki berjalan di belakangnya?. Maka, labuhkanlah tudung mu sehingga menutup juyub(tulung rusuk paling bawah) dan menutup punggung.

Ketahuilah bahwa pada pagi hari perintah berjilbab diwahyukan kepada Rasulullah saw,seorang sahabiyah yang masih tidak tahu tentang wahyu tersebut telah keluar dari rumahnya tanpa jilbab, seseorang telah menegurnya,"mengapa engkau tidak berjilbab, adakah engkau tidak tahu tentang perintah memakainya?".

Lalu wanita tersebut berhenti melangkah dan menyuruh seseorang mengambil jilbabnya, beliau berkata, "aku tidak mahu selangkah pun aku berjalan dalam keadaan melanggari perintah Allah swt".

Diriwayatkan juga ketika peristiwa Fathul makkah, Hindun datang berjumpa Rasulullah untuk memeluk Islam dalam keadaan berjilbab. Beliau telah siap menunaikan perintah Allah walaupun belum memeluk Islam.

Hari ini apa yang terjadi pada wanita Islam, bertahun-tahun belajar Islam tetapi masih tiada kekuatan untuk mengamalkannya...

Wanita solehah juga tidak berpergian(keluar rumah) melainkan urusan yangmustahak.Keluarnya wanita dari rumah hendaklah ditemani muhrimnya. Para sahabiyah r.a tidak keluar dari rumah mereka sehinggakan mereka tidak hafal jalan -jalan di kampung mereka. Apa yang mereka hafal hanyalah jalan-jalan menuju syurga Allah.

Oleh itu, mereka telah menghantar suami dan anak anak mereka ke syurga melalui jalan pintas, dengan berjihad dan syahid di jalan Allah...

Keluarnya wanita dari rumah menyebabkan terbinalah papan-papan iklan maksiat. Ini sangat menguntungkan musuh Islam. Wanita kita hari ini melariskan produk keluaran mereka dengan mendedahkan maruah mereka pada pandangan umum.

Aku bangga apabila ditanya pada seorang muslimah, "dimana tempat membeli belah paling besar di kota ini?". sedang ia menjawab, "saya tidak tahu". Seorang wanita solehah juga tidak bertabarruj(berhias diri)

firman Allah swt:

"Janganlah kamu berhias diri sepertimana berhias diri perempuan jahiliyah".(surah al-Ahzab_33)

ya,memang benar...Islam itu mudah, tapi kemuliaan Islam itu selalu mengiringi mereka yang tidak mengambil mudah terhadap Islam, dalam satu hadith dalam kitab hadith 40, Rasulullah s.a.w bersabda,

"Kebaikan itu adalah akhlak yang baik, dan dosa itu adalah apa yang bergetar di hati kamu, dan kamu takut perbuatan itu dilihat orang

Wanita solehah itu adalah wanita yang menjaga pandangannya, kerna ia adalah perintah dari Allah(an-Nur,30-31), ia tidak akan mengizinkan dirinya untuk memandang atau dipandang lelaki ajnabi pandangannya sentiasa tertunduk ke bumi,lantaran sifat malu kepada tuhannya untuk berbuat kemungkaran atau mencetuskan kemungkaran. Tundukkanlah pandanganmu, ibarat mencari sesuatu yang hilang. Ketahuilah, kelak di dalam kubur manusia yang tidak menjaga pandangannya akan diajar oleh syuja'ul aqro, sekali ia menghembuskan bisanya ke bumi, maka sehelai rumput pun tidak akan tumbuh, dan di hari kiamat, dia akan dibangkitkan dalam keadaan buta.

Wanita solehah itu adalah wanita yang selalu menjaga pendengarannya daripada sesuatu yang melalaikan,umpatan dan cacian, wanita yang menjaga pendengarannya di dunia, maka di syurga kelak dia akan dapat mendengar suara Nabi Daud a.s membaca kitab Zabur, di mana sungai pun akan berhenti mengalir kerna kemerduan suaranya.

Dia akan dapat mendengar Rasulullah saw membacakan surah Yasin dan Toha.

Dan di hari puncak segala kebahagiaan untuk penghuni syurga, iaitu di kala melihat wajah Allah swt, Allah swt akan membacakan untuknya surah arRahman... MasyaAllah...

Saudariku,

Bangkitlah dari lenamu yang panjang, dan tidak berkesudahan, sekali kamu terjatuh,jangan biarkan diri kamu jatuh selamanya, kamu punya kekuatan untuk bangkit semula, walaupun kita berdosa sebanyak buih yang memutih di lautan, yakinlah kasih sayang dan maghfirah Allah terlalu luas...

Saudariku...

hidup ini seperti mimpi, seorang pengemis bermimpi menjadi seorang raja, dipuji dan dipuja, segala kemuliaan dan kekayaan tunduk kepadanya, tapi bila dia sedar dari lenanya, dia masih seorang pengemis yang miskin dan tidak punya apa-apa, seorang raja yang bermimpi, menjadi seorang pengemis yang miskin dan hodoh, dia dihina dan dikeji di setiap persimpangan yg dilalui, tapi bila raja itu sedar dari lena, dia tetap seorang raja...

Saudariku...

itulah hakikat hidup di dunia, kalau susah,susah yang sementara, kalau senang, senang yang sementara, tapi hidup di akhirat, kalau susah sehari, ibarat seribu tahun di dunia, kalau senang di akhirat..senang untuk selamanya...

Saudariku...

matanglah dalam urusan akhiratmu, jgn kerna kesenangan dunia yg sementara, kau sanggup menempah sengsara di akhirat selamanya, jgn kerna kasih makhluk yg sementara, kau hilang kasih Allah di akhirat, jika kau hilang kasih Allah, kau hilang segalanya...

Saudariku...

Saidatina Aisyah r.a pernah berpesan,

"sebaik baik wanita adalah yang tidak memandang dan dipandang"

Jangan kau berasa bangga, kecantikanmu dikejar jutaan lelaki, itu bukan kemuliaan bagimu, tapi adalah satu penghinaan, jika kau berasa bangga, kau menyamakan dirimu dgn pepasir dipantai, yang boleh dipijak dan dimiliki sesiapa sahaja, di mana seorang pengemis pun mampu memilikinya, tapi jika kau menganggapnya sebagai satu musibah pada dirimu, Kau telah memuliakan dirimu setanding mutiara Zabarjad, yang hanya mampu dimiliki penghuni syurga sahaja...

Saudariku...

ingatlah pesan Rasulullah s.a.w, "barang siapa yang menyerupai sesuatu kaum,maka dia daripada kalangan mereka"

lihatlah penampilanmu,percakapanmu,ataupun akhlakmu, moga - moga ia mirip Asiah dan Maryam a.s, mirip isteri-isteri Rasulullah saw dan para sahabiyahnya r.a, kelak di hari kebangkitan,mereka akan menjadi jiranmu, tapi apa khabar nasibmu,jika penampilanmu, percakapanmu dan akhlakmu, seperti akhlak wanita-wanita jahiliyah...?

Saudariku...

jadilah wanita solehah, yang taat pada Allah dan Rasulnya, teguhlah menjalankan perintahnya dan meninggalkan larangannya,

jangan kau cuba menambah atau menguranginya walaupun langit dan bumi menghimpitmu, jagalah hati, pandangan, pendengaran dan percakapanmu, binalah hubungan baik dengan Tuhanmu, beristiqomahlah dalam kebaikan dan kesolehan, agar tarikan dan hembusan nafasmu, di dalam keredhaan tuhanmu, didiklah hatimu seperti hati Rasulullah s.a.w, walaupun dicaci,dilukai dan disakiti, tapi baginda tetap mendoakan kebaikan utk umatnya...

Saudariku...

ajarlah jiwamu untuk bersahabat dgn tuhan, ia tidak semudah pengucapan, kau akan didatangi pelbagai musibah dan ujian, di kala jasadmu bersama manusia, tapi ruhmu jauh terbang merindui tuhan, di kala manusia lalai dengan keduniaan, jiwamu menangis kerna takutkan tuhan, hiasilah setiap tarikan dan hembusan nafasmu,dengan zikir LailahaillaAllah, berjalanlah di atas jalan seorang solehah, da'ieah, abidah, alimah,murabiyah dan zahidah, jalan yg pernah dilalui oleh Maryam a.s, Masyitah a.s dan para sahabiyah r.a, di mana seorang yang buta pun, apabila melalui jalan ini, mereka akan bertemu syurga Allah...

Semoga kamu dimuliakan Allah seperti Saidaina Fatimah r.a..di kala penghulu wanita di syurga itu ingin melalui titian sirat, Allah akan memerintahkan setiap manusia supaya menundukkan pandangan,kerna beliau adalah wanita yang tegar menjaga maruahnya di dunia..betapa tingginya maruah seorang wanita solehah..semoga kamu ditaufiqi Allah untuk mendakapnya.amin....

Ibnu Aminah aljuhury...


nukilan::AINATUL MARDIAH

Saturday, September 11, 2010

Puasa Enam Syawal

Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud) : Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dan meneruskannya dengan enam hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seolah-olah berpuasa selama setahun. (Hadis riwayat Muslim).

Hadis ini menjadi hujah kepada para ulama khususnya dan umat Islam seluruhnya untuk mengamalkan puasa sebanyak enam hari di bulan Syawal selepas berjaya menempuhi bulan Ramadhan dengan berpuasa sebulan penuh.

Hikmah Dari Segi Kesihatan

Sebenarnya puasa enam hari ini mempunyai beberapa hikmah yang tertentu dari sudut kesihatan manusia itu sendiri. Puasa selama sebulan penuh di bulan Ramadhan antaranya menyebabkan sistem pencernaan di dalam badan berehat seketika di waktu siang selama sebulan.

Kedatangan bulan Syawal pula menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan diberikan tugas mencerna pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari selepasnya, apatah pula amalan masyarakat kita suka mengadakan kenduri pada musim-musim perayaan. Pada hari raya, ia mencerna pelbagai jenis makanan bermula dari ketupat rendang sehinggalah kepada nasi minyak.

Oleh kerana itulah, puasa enam ini memberikan ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani manusia itu sendiri.

Konsisten

Selain dari itu, sebagai manusia yang menjadi hamba kepada Allah SWT, alangkah baiknya seandainya amalan puasa yang diwajibkan ke atas kita di bulan Ramadhan ini kita teruskan juga di bulan Syawal walaupun sekadar enam hari. Ini seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana ia menjadi satu kewajipan tetapi kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar bersungguh-sungguh untuk taqarrub kepada tuhannya. Bukankah ibadat puasa ini mengikut hadis sebenarnya mengekang nafsu syahwat?

Puasa Enam dan Puasa Ganti

Persoalan puasa qada dan puasa enam di antara persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam ialah adakah harus menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qadha dan puasa enam hari di bulan Syawal. Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut dengan puasa yang satu?

Syeikh Atiyyah Saqr, mantan Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar ketika ditanya tentang persoalan ini menyatakan bahawa sudah cukup bagi seorang yang ingin melakukan puasa qada dan puasa enam dengan berniat puasa qada di bulan Syawal, dan ia akan diganjari dengan dua ganjaran sekali gus seandainya dia bertujuan demikian dengan syarat dia perlu mendahulukan niat puasa qada terlebih dahulu. Ini adalah kerana puasa qada adalah wajib dan puasa enam adalah sunat.

Kebanyakan ulama Syafi'iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperoleh apabila seseorang berpuasa qada sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang diperoleh kurang daripada seorang yang berniat kedua-duanya.

Di dalam kitab As-Syarqawi 'Alat Tahrir yang dikarang oleh Syeikh Zakaria Al-Ansori dinyatakan bahawa jika seseorang berpuasa qada yang tertinggal di bulan Ramadhan atau bulan selainnya, atau puasa nazar atau puasa sunat yang lain di bulan Syawal, maka ia akan tetap diganjari dengan pahala puasa enam sekalipun ia tidak berniat bahkan jika ia tidak mengetahui sekalipun tentang puasa enam. Ini adalah kerana ia telah mencapai maksud hadis Rasulullah SAW agar berpuasa di bulan Syawal.

Namun, pahala yang diperoleh tentulah kurang daripada orang yang berniat kedua-duanya sekali.

Beliau mengambil contoh solat tahiyyatul masjid, jika seseorang memasuki masjid dan terus melakukan solat fardu bersama jemaah atau berseorangan, maka dia akan diganjari dengan dua pahala sekali gus iaitu bersama pahala solat tahiyyatul masjid. Ini adalah kerana maksud solat tahiyyatul masjid ialah seseorang bersolat selepas memasuki masjid sebelum ia duduk.

Namun, kebanyakan ulama berpendapat bahawa sekalipun pahala puasa enam bersama puasa qada akan diganjari bersama-sama puasa yang satu, seseorang yang melakukan kedua-duanya secara berasingan tetap akan mendapat kelebihan yang banyak di sisi Allah SWT. Ini adalah kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba mencari redha Tuhannya.

nukilan::mohd razi mahayiddin

Friday, September 10, 2010

Hari Raya Sebenar

Sempena hari raya ini, marilah sama-sama kita merenung sebuah hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, berkaitan dengan konsep 'hari raya' yang lebih luas. Menurutnya, Nabi Muhammad SAW bersabda hari raya yang sebenarnya bagi orang beriman itu ada pada 5 keadaan:

1. Setiap hari ia berjalan dan bertemu seorang yang beriman serta ia tidak melakukan sebarang dosa, itu ialah hari raya baginya.

2. Hari keluarnya dari dunia dengan penuh keimanan dari tipu daya syaitan

3. Hari menyeberang Siratul Mustakim dan terselamat dari bencana jatuh ke dalam api neraka

4. Hari kita masuk syurga dengan selamat dan terlepas dari api neraka

5. Hari ia menatap wajah Allah Ta'ala

Menurut Nabi Muhammad SAW Hari Raya bagi setiap orang beriman ada pada 5 ketika; iaitu setiap hari yang dia tidak melakukan sebarang dosa, saat meninggal dunia dalam husnul-khatimah, hari berjaya melintasi Siratul-Mustakim dan terselamat dari masuk ke neraka, masuk ke dalam syurga dan hari dia mengadap Allah Taala.

Menjauhi Dosa

Sekiranya kita tidak melakukan sebarang dosa pada sesuatu hari, itu adalah hari raya bagi kita. Kalaulah kita berusaha sungguh-sungguh menghindarkan diri melakukan sebarang dosa dengan menjauhi larangan Allah serta mematuhi segala perintah Allah, hari itu adalah sebenarnya hari yang harus dirayakan.

Saat menghembuskan nafas terakhir dengan penuh keimanan dari tipu daya syaitan juga termasuk dalam 'hari raya' yang dimaksudkan oleh Nabi Muhammad SAW. Saat sakratul-maut adalah masa yang paling genting bagi setiap individu. Kesakitannya yang amat sangat bukan saja menimpa jasad bahkan rohnya juga; seperti yang digambarkan oleh ulama kesakitannya lebih dahsyat daripada dipalu dengan 1000 pedang, atau digunting dengan beberapa gunting atau digergaji dengan beberapa gergaji. Malahan dikatakan saat sakrat adalah hari kiamat bagi si-mati.

Sakaratul Maut

Menurut Imam Ghazali kesusahan mati itu 3, pertama kesakitan sakaratul maut, kedua kesusahan melihat kedatangan malaikat maut dengan mukanya yang amat bengis dan ketiga, kesusahan jika dinampakkan tempat kediaman di neraka (jika ahli maksiat). Sudahlah tidak tertahan dengan kedahsyatan yang amat sangat, syaitan pula sibuk menangguk di air keruh. Di saat inilah dia menjalankan taktik dan strategi terakhir untuk menumpaskan kita.

Hanya orang yang Allah tetapkan mati dalam husnul khatimah saja terlepas dari tipu dayanya. Berjayanya kita di saat ini barulah kita dapat menikmati hari raya sebenarnya. Namun alam perkuburan merupakan alam yang penuh dengan peristiwa-peristiwa dahsyat. Bagi orang mukmin, ia merupakan satu taman dari taman-taman syurga, sebaliknya bagi orang kafir, alam barzakh adalah satu pintu dari pintu neraka.

Jambatan Menuju Syurga/Neraka

Hari Raya seterusnya adalah hari kita berjaya melepasi api neraka selepas merentas Titian Siratul Mustaqim. Sebelum menyeberang jambatan yang direntang di atas kawah neraka, setiap individu disoal dan ditimbang amalan baik dan jahatnya. Selesai dari segala perhitungan tersebut barulah diperintah meniti Titian yang sangat tajam dan sangat halus ini. Orang yang mengikut jalan lurus semasa di dunia selamat menyeberang dengan kelajuan yang pantas.

Malangnya mereka yang menyeleweng dari jalan lurus di dunia gagal dan jatuh ke dalam api neraka. Bayangkan betapa dahsyat dan ngerinya berada di jambatan yang di bawahnya terdapat lautan api yang sentiasa mengait sesiapa saja yang berdosa. Andainya terlepas dari tercebur ke neraka, barulah boleh kita berhari raya.

Syurga

Hari kita masuk syurga adalah hari raya seterusnya bagi orang beriman. Terlepasnya dari neraka bermakna kita akan dimasukkan ke dalam syurga yang penuh dengan kenikmatan dan kelazatan. Syurga adalah tempat manusia pilihan. Penghuni-penguni syurga dengan muka yang berseri-seri diberikan kerajaan yang sangat luas dengan mahligai yang besar serta menikmati pelbagai juadah yang lazat-lazat. Pendeknya mereka beroleh segala kelazatan dan terhindar dari segala seksa. Inilah sebenarnya hari raya bagi orang mukmin.

Hari raya yang paling meggembirakan orang beriman ialah di saat memandang wajah Agung Ilahi. Inilah kenikmatan yang paling agung dan lazat sehingga terlupa kelazatan dan kenikmatan syurga. Ia merupakan puncak atau klimaks kenikmatan orang beriman.

Memandangkan kita belum pun menempuh saat-saat di atas, sepatutnya kita berasa cemas dan berwaspada. Dalam masa kita bersuka ria menyambut hari raya ini, lintaskanlah di hati sanubari kita bahawa hari raya sebenarnya belum kita tempuhi lagi. Amat jauh terpesongnya budaya kita yang menyambut hariraya dengan maksiat seperti hiburan, nyanyian, tarian dan pelbagai kegilaan yang melupakan kita akan hari raya sebenarnya.

Aidilfitri hanya satu gambaran atau tamsilan bagi kita merenung bahawa Allah akan membalas dengan ganjaran baik jika berjaya melepasi rintangan hawa nafsu dan mengendalikan hidup mengikut cara yang Allah redhai.

Mudah-mudahan hari raya yang kita hadapi ini tidak berakhir di sini saja, sama-samalah kita berdoa semoga ia berterusan sehinggalah kita berjaya melepasi sakaratul-maut, titian siratul-mustaqim, menjadi penghuni syurga dan akhirnya mengadap zat Allah Taala di syurga kelak.

Thursday, September 9, 2010

Mengapa Wanita Memerlukan Lelaki?

Wanita tidak semestinya memerlukan lelaki, tetapi wanita dan lelaki saling memerlukan, cinta itu anugerah.

Mengapa wanita memerlukan lelaki di dalam hidupnya? Untuk beberapa waktu dahulu, ia begitu memukul-mukul kepala.

Ya, apa perlu seorang wanita yang bebas mempertaruhkan sebahagian besar hidupnya kepada tangan seorang lelaki?

Bukankah lebih hebat jalan dihujung minggu bersama kawan rapat, berkenyit-kenyitan mata kepada lelaki kacak yang saling tidak putus dan tidak lokek senyum tanda salam perkenalan.

Saya mempunyai seorang rakan, sederhana cantik, tidak terlalu kurus tidak terlalu gemuk, tidak terlalu buruk, tidak terlalu jelita, manisnya ada, santunnya memikat orang tua, beragama juga kerana selalu sahaja diceritakan dia terhendap-hendap membawa sejadah masuk ke bilik stor kecil untuk solat, dan dia sentiasa cuba gembira dengan kehidupannya yang solo.

Tetapi saya fikir, saya faham apa yang berputar-putar dalam kepalanya.

Dia tidak dapat berdusta betapa kebahagiaan cinta kawan-kawan membuatnya cemburu, dan membuatnya selalu terfikir-fikir: Apalah perasaan gadis yang dipuja dan dicintai hebat oleh seorang lelaki.

Kawan, saya harap dia membaca artikel ini. Cinta tidak datang dipaksa-paksa. Cinta tidak juga datang kala kita mahukannya. Jika kita mahukan ia menjadi air, ia datang seperti api.

Tetapi, jika kita bersabar dan menerima ketentuan Tuhan, seorang lelaki yang baik akan didatangkan kepada kita juga. Lelaki yang baik itu tidak turun dari langit.

Lelaki yang baik itu juga tidak semestinya datang dengan kepala berketayap, janggut selambak atau harta membuak-buak.

Tetapi lelaki yang baik, jika Tuhan mahukan dia menemani kita sepanjang hayat, membimbing kelakuan kita, menjaga kemurnian kalbu bersama-sama, mendidik, membuka jalan agar kita dapat memperdalam selok belok agama yang barangkali selama ini hanya menjadi pakaian dan lencana, dan memberikan kita zuriat yang halal lagi dirahmatiNya.

Dia akan datang apabila tiba masanya. Lambat atau cepat, maafkan saya, kerana Allah itu yang lebih mengetahui.

Kawan, kedatangan seorang lelaki dalam kehidupan seorang wanita seperti manusia kudung yang diberikan semula sebelah kakinya. Dia menyempurnakan kita.

Namun, tidak kira semasyhuk mana sekalipun perkasihan dua jantina, selain perkara yang cantik-cantik dan molek-molek, kita, wanita, harus bersedia menerima kehodohan-kehodohan perhubungan.

Kerana apabila kita mempersilakan seorang lelaki duduk di samping kita untuk sepanjang hayat, bererti kita harus langsung juga mempersilakan sekian masalahnya berbaring di bahu kita.

Kerana itu tidak hairan jika kita mendengar ada di kalangan kita, gadis, yang merungut-rungut kerana tanggungjawabnya terhadap keperluan hidup lelaki tidak juga berkurangan walaupun belum lagi berkahwin.

Ya, lelaki memang mendatangkan bahagia.

Tetapi lelaki juga mendatangkan sengsara. Namun jika kita bijak menatangnya, semuanya pasti baik-baik sahaja. Itulah adat dalam perhubungan. Yang buruk-buruk pasti ada.

Barangkali daripada si dia, barangkali juga daripada kita, tetapi kita harus cermat mengimbangkannya agar jodoh berkekalan ke hari tua.

Bagi yang sedang galak bercinta dengan lelaki permata jiwa tetapi menerima tentangan keluarga dua pihak, jika anda fikir anda tidak mungkin mampu hidup bahagia tanpa restu ibu bapa, maka ada baiknya anda menyerah kalah saja.

Walaupun tidak saling memiliki, dan cinta tidak juga diwali dan dinikahi, anda dan dia tetap pengantin di dalam jiwa.

Barangkali sudah sampai masanya anda mencari sahaja lelaki lain untuk dibawa pulang menemui ibu bapa.

Bercakap soal kahwin, beberapa kenalan rapat yang dewasa bersama-sama.

Sejak zaman gatal-menggatal kenyit mengenyit kala di bangku pengajian, kini sudah disunting, dan bakal menjadi isteri kepada lelaki yang mereka cintai.

Semoga mereka tak tersalah pilih.

Dan semoga lelaki yang dipilih, melaksanakan tanggungjawab dan melunaskan hak suami isteri.

Wanita, kita dicipta dengan kemuliaan syahadah. Kerana benih seorang lelaki, kita ini tersenyawa, dikurnia tenaga sehingga kita mampu menyibak jalan keluar dari rahim ibu untuk melihat dunia.

Kerana benih seorang lelaki, kita ini ditiupkan jiwa, menjadi manusia, dan mencari seorang lelaki untuk dicintai, sebagaimana ibu diilhamkan Tuhan untuk berkasih sayang dengan bapa.

Dan kerana Tuhan yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta, kita wanita, kita ini diciptakan daripada lengkungan rusuk kiri lelaki, tidak terlalu gagah sehingga mengenepi kudrat lelaki, tidak juga terlalu lemah sehingga jatuh menyembah kaki.

Tetapi kerana ciptaan Tuhan itu indah, kita terbit daripada rusuk lelaki, bukan dekat kepala untuk dijunjungi, bukan dekat bahu untuk membebani, bukan dekat lengan untuk dijulangi, bukan dekat jari untuk disakiti, bukan dekat pinggul untuk dihenyaki, bukan dekat lutut untuk ditindihi, bukan dekat kaki untuk ditunggangi, tetapi dekat pelusuk hati untuk dimulia, disayangi dan dicintai.

Andai lelaki itu burung yang terbang, kita adalah angin lembut yang bersisir-sisiran sepanjang perjalanannya.

Tetapi kerana fitrah kejadian Tuhan wanita itu kebergantungan hidupnya harus saja diserahkan kepada seorang lelaki yang boleh melindungi, maka kita pun tidak selamanya mahu menjadi angin semata-mata.

Kita mahu menjadi bunga, menghias sayapnya. Kita mahu terus bersama-sama, terbang dari rendah perkebunan bunga sehingga ke sayup langit terbuka, sehingga jalannya yang paling hujung, sehingga kita tua, rapuh dan mati.

Tetapi kita bahagia dalam dakapannya, semoga kita semua diketemukan dengan jodoh yang baik..InsyaAllah...




nukilan:: mya maisarah

Wednesday, September 8, 2010

Bagaimana Tarikh Raya Ditentukan?


Antara perkara-perkara yang sinonim dengan Ramadhan, Hari Raya dan Qurban adalah Hilal (anak bulan) dan Rukyah (aktiviti atau kaedah melihat anak bulan untuk penentuan tarikh dalam kalendar Hijriah). Menjadi kebiasaan kita di Malaysia untuk beramai-ramai menghadap kaca television menantikan pengumuman oleh pemegang mohor besar Raja-Raja akan tarikh mula puasa dan Raya.

Namun setelah berada di luar negara terlintas satu masalah di mana bukan sahaja tiada autoriti induk bagi aktiviti sebegini malah terdapat juga perbezaan tarikh puasa dan raya antara rakan-rakan Muslim. Ada yang berpuasa sehari awal, ada pula yang berpuasa sehari lewat. Punca pada perbezaan ini dasar dari perbezaan taklid/ ijtihad yang digunakan.

Artikel ini ditulis hanya sebagai pendahuluan kepada pencarian ilmu dan konsep ijtihad yang lebih serius yang patut diberatkan oleh pelajar Muslim Malaysia terutamanya di negara-negara asing. Penulis tidak mencadangkan apa-apa dan cuba untuk tidak meletakkan hukum atas mana-mana ijtihad, apa yang ditulis hanyalah berasaskan ilmu penulis yang sangat sedikit.

Apakah itu Hilal?

"Mereka bertanya kepadamu tentang hilal. Katakanlah hilal itu adalah tanda-tanda waktu bagi manusia dan ibadat haji."[Al-Baqarah(2):189] 2

Dari Ibn Umar r.a. Dari Nabi saw. bahawa beliau menyebut-nyebut tentang bulan Ramadan sambil mengangkat kedua tangannya dan bersabda: "Janganlah engkau memulai puasa sebelum engkau melihat hilal awal bulan Ramadan dan janganlah berhenti puasa sebelum engkau melihat hilal awal bulan Syawal. Apabila tertutup awan, maka hitunglah (30 hari)". (Riwayat Muslim)

Di dalam Al-Quran dan Hadis perkataan Hilal merujuk kepada anak bulan atau bulan sabit, dalam bahasa Inggerisnya, 'Crescent moon'. Pun begitu dalam beberapa terjemahan dalam bahasa Inggeris menterjemah perkataan Hilal sebagai 'New Moon' atau Bulan Baru.

Hilal adalah fasa seterusnya selepas fasa Bulan Baru di mana pantulan cahaya berbentuk sabit mula kelihatan. Hilal akan kelihatan lebih kurang sehari atau lebih selepas Bulan Baru. Di mana, pergerakkan bulan pada orbitnya mula membenarkan pantulan cahaya matahari pada permukaannya untuk sampai ke bumi. Cahaya yang terpantul itu yang akan kelihat sebagai bulan sabit pada pemerhati di bumi. Bulan baru dalam kalendar Islam bermula dengan Hilal bukan Bulan Baru. (Ali 2009, Shaikh 2006).

Rukyah

Rukyah adalah aktiviti melihat dan menentukan Hilal. Rukyah bukan sahaja dilakukan untuk menetukan jatuh tarikh puasa dan raya sahaja. Ia adalah aktiviti utama untuk menentukan bulan baru setiap bulan dalam kalendar hijrah.

Bulan seperti matahari terbit dari sebelah timur dan terbenam di sebelah barat. Hilal terletak berdekatan matahari dan akan terbenam selepas matahari terbenam. Rukyah dilakukan antara waktu selepas matahari terbenam dan sebelum bulan pula menyusur terbenam. Rukyah akan dilakukan pada 29 haribulan. Secara teknikal, bulan tidak dapat kelihatan pada 28 haribulan kerana ketika itu bulan berada pada fasa Bulan Baru. (Ali 2009)

Sekiranya hilal gagal kelihatan pada petang 29 haribulan, maka bulan tersebutan disempurnakan atau dicukupkan kepada 30 hari. Dengan kata lain, bulan hijriyah yang baru akan bermula pada lusa harinya, bukan keesokkannya.

Secara istilahnya, jika seseorang membuat kenyataan bahawa dia telah melihat hilal, dan dia adalah seorang Muslim, maka kenyataannya diterima, maka Muslim di tempat tersebut perlu berpuasa pada esok hari. Namun terdapat beberapa kes di mana, kenyataan tersebut diragui kerana beberapa perkara. Antaranya, terdapat orang yang menyatakan melihat hilal pada 27 haribulan, padahal ketika itu yang dilihat bukan Hilal, tapi Waning Crecsent atau Old Moon.

Oleh hal demikian, Rukyah digalakkan dilakukan secara Jamme Ghafir iaitu oleh ramai saksi, kaedah ini digalakkan oleh Imam-Imam Mazhab seperti Imam Abu Hanifa, Malik dan Imam Ahmad. (Shaikh 2006).

Hisab

"Dia-lah yang menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan ditetapkan-Nya manzilah-manzilah (tempat-tempat) bagi perjalanan bulan itu, supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan perhitungan (waktu). Allah tidak menciptakan yang demikian itu melainkan dengan hak". [Yunus (10):5]

"Matahari dan Bulan beredar mengikut laluan yang diperhitungkan" [ar-Rahman(55):5]

Maha suci Allah yang berkuasa menciptakan sesuatu atas kehendak-Nya. Dari dua potong ayat di atas, jelas bahawa peredaran bulan dan matahari terdapat pengiraan di sebaliknya, dan dengan izin Allah manusia mampu memahami dan mengira fenomena ini.

Hisab atau kaedah pengiraan astronomikal dalam konteks ini merujuk kepada kaedah perhitungan pergerakkan bulan menggelilingi bumi. Pada zaman kini terdapat pelbagai badan-badan astronomi di mana-mana negara sekalipun yang mengira kedudukan bulan pada satu-satu masa. Dengan teknologi terkini kedudukan bulan boleh ditentukan dengan tepat, dan bulan boleh dilihat menggunakan teleskop canggih biarpun mata kasar tidak mampu melihatnya, terutamanya dalam kes Bulan Baru.

Namun perlu diingatkan teknik pengiraan bulan bukan sesuatu yang baru. Pengiraan matematik pergerakkan bulan menggelilingi bumi telah lama dipelopori oleh Tamadun Greek dan Tamadun India, ratusan tahun sebelum Tamadun Islam bermula. Bahkan ahli astronomi Muslim menjelajah ke India untuk belajar dan memperbaiki kaedah Hisab dan Rukyah untuk kemudahan ummah. (King 1993, Ali 2009)

Terdapat lebih dari satu kaedah hisab, tetapi tidak akan dibincangkan di sini kerana teknikaliti yang sangat kompleks dan perbincangan yang panjang.

Terdapat Muslim yang berpendapat bahawa Hisab boleh menggantikan kaedah Rukyah sama sekali bahkan perlu digunakan sebagai kaedah untuk menetukan kalendar Hijrah seluruh dunia atas dasar kesatuan Ummah. Pun begitu majoriti ulama menegaskan keperluan hisab hanya sebagai pembantu dalam proses Rukyah, bukan sebagai pengganti.

Salah faham umum dalam penggunaan kaedah Hisab ialah timbul apabila kekeliruan antara Hilal dan Bulan Baru. Kaedah hisab menentukan waktu "lahir" bulan baru bukan hilal. Hisab tidak mampu untuk menentukan Hilal kerana Hilal adalah sesuatu yang dilihat. Perlu diingatkan Hilal adalah pantulan cahaya dari bulan yang berbentuk sabit. Maka, apa yang terjadi apabila kekeliruan ini timbul ialah mereka akan berpuasa pada hari orang membuat Rukyah, iaitu sehari atau dua hari sebelum tarikh puasa melalui kaedah rukyah.

Tuntutan Syara'

Dalam surah al-Baqarah ayat 185, perkataan "famaan shahida minkum as-shahara" bermaksud 'Sesiapa antara kamu yang melihat bulan'. Ayat ini merujuk terus keperluan untuk melihat sendiri Hilal. Perkataan 'shahida' memberi makna untuk melihat dalam bentuk fizikal sebagai bukti (hilalsighting.org). Maksud lain bagi perkataan 'shahida' adalah, untuk bersaksi atas suatu perkara yang dilihatnya. (Ali 2009)

Afroz Ali, Presiden di Al-Ghazzali Centre for Islamic Sciences & Human Development, menekankan bahawa untuk menggunakan kaedah pengiraan semata-mata bagi menentukan tarikh tidak menepati kehendak syara' dan beliau juga menambah; Imam al-Qurtubi dalam Sabab al-Nuzul, menulis berkaitan dengan ayat 189 surah al-Baqarah seperti berikut:

"This (verse was revealed) in opposition to what the Arabs considered acceptable at their time, as their practice was to perform Hajj based upon calculation ('adad) and alterations of the months. And so Allah nullified their words and deeds by obligating sighting of the crescent". (Ali 2009)

Pada zaman Rasulullah (SAW) di Madinah, orang Yahudi juga mempunyai Kalendar Lunar mereka sendiri, tetapi berbeza dengan Muslim, Yahudi menggunakan Bulan Baru sebagai permulaan bulan yang baru dalam kalendar mereka. Rasulullah (SAW) sebaliknya menyuruh umat islam untuk menggunakan Hilal sebagai penentu berakhir dan mula bulan-bulan Islam daripada menggunakan kalendar Yahudi. (IslamMoon.com)

Maka pada hukum syara', Hilal merupakan sabab kepada mulanya puasa tetapi selepas beberapa kriteria yang ditetapkan dipenuhi iaitu Rukyah pada petang 29 haribulan bulan Islam. Dan seperti hadith Nabi, sekiranya Hilal tidak kelihatan maka dicukupkan bulan itu dengan 30 hari. (Ali 2009)

Penutup

Muslim seluruh dunia melihatkan keperluan untuk menyatukan tarikh kalendar hijriyah sebagai lambang kesatuan Ummah. Ironiknya setiap kali Ramadhan dan dua Hari Raya (Eid), Muslim menyambutnya dalam 2-3 tarikh Kalendar Gregorian yang berbeza serata dunia, tidak cukup dengan itu masing-masing menyalahkan satu sama lain atas perbezaan tarikh tersebut.

Persoalan yang dibangkitkan ialah apakah ia tuntutan syara bagi menseragamkan kalendar Islam atas dasar syiar perpaduan Islam semata? Dalam menjawab persoalan ini, Liga Muslim Sedunia (Muslim World League), bersetuju atas beberapa perkara mengenai tarikh kalendar hijriah:

01.

Tidak ada keperluan untuk menseragamkan rukyah dan Hari Raya untuk semua negara-negara Islam. Kerana usaha ini belum tentu dapat menyatukan ummah seperti mana yang dilaung-laungkan.

02.

Perihal rukyah adalah tanggungjawab pada Waqi' negara masing-masing.

03.

Satu-satunya jaminan untuk kesatuan Ummah ialah apabila Muslim mahu bersatu dalam mentaati Quran dan Sunnah.

Sebagai tambahan, Salman Shaikh, Koordinator Hilal Sighting Commitee of North America menjelaskan bahawa Rasulullah tidak pernah menyamakan tarikh Eid-ul-Adha di Madinah dan Mekah. (Shaikh 2006)

Terdapat pelbagai lagi persoalan yang lahir berkaitan Rukyah, Hilal dan Kalendar Hijriah, antara yang popular ialah persoalan menggunakkan Rukyah Lokal atau Global, dengan kata lain, apakah saya yang berada di Australia boleh menggunakkan keputusan Rukyah di Algeria, Arab Saudi, Argentina dan lain-lain.

Namun perbincangan yang panjang yang tidak disertakan dalam penulisan ini kebanyakkan berbentuk khilaf, untuk mengelakkan takalluf, saya sengaja tidak sertakan. Apa yang telah ditulis merupakan hanya sebagai pendahuluan dan sangat sedikit daripada maklumat mengenai Rukyah dan perkara berkaitan dengannya.

Lagi sekali diingatkan, penulisan ini hanya sebagai pendorong untuk pembaca mencari maklumat sendiri dengan lebih lanjut.

Maha Suci Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.


nukilan::ibni affandi