Tuesday, August 17, 2010

Golongan Yang Menang di Ramadhan

Terasa kesedihan melanda tatkala melihat umat Islam di bulan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan ini, Ramadhan al-Mubarak. Masakan tidak, belum pun Ramadhan membuka tirai, pelbagai juadah dan fesyen pakaian telah diiklankan di kaca-kaca televisyen, semata-mata untuk menyambut kehadiran Syawal yang bakal menjelma. Seolah-olah Ramadhan tidak akan dan pernah munciul dalam diari umat Islam akhir zaman ini.

Apatah lagi, apabila masuknya Ramadhan al-Mubarak lagu-lagu raya didendangkan di corong-corong di setiap benda yang bergelar ‘speaker’. Amatlah menyedihkan umat Islam seolah-olah tidak mahu mengerti dan mengambil peduli akan hadirnya Ramadhan al-Mubarak.

Pelbagai ragam boleh kita lihat di sepanjang bulan yang mulia ini. Berikut merupakan beberapa perkara yang masih dan sempat terakam dalam benak fikiran saya bermula dari sebelum Ramadhan sehinggalah ke saat ini.

  • 2 hari sebelum Ramadhan. Seorang pensyarah bahasa Arab bertanya kepada anak muridnya: “Adakah kamu semua telah bersedia menyambut kehadiran Ramadhan al-Mubarak?” Lantas seorang pelajar menjawab dengan bersahaja; “Belum ustazah. Nanti saya nak makan sepuas-puasnya.”
  • 1 hari sebelum Ramadhan. Keluhan seorang kawan sekelas; “Esok puasa la weii..balik ni kena makan banyak-banyak” disertai dengan gelak ketawa yang disokong oleh kawan sekelas yang lain.
  • Petang sebelum Ramadhan. Seorang pelajar berkata kepada kawannya; “Esok puasa, dahlah ada kuliah. Pagi esok aku kena gastrik, petang pulak aku nak tido..” Lalu dijawab oleh kawannya yang lain; “Nice idea!”
  • 1 Ramadhan. Sunyi sepi ku lihat kawasan IPTA ni. Persoalan “Ke mana semua orang?” bermain di benak fikiran ku yang kecil ini. Rupanya, jawapannya ku temui saat melangkah kaki ke masjid. Hampir semua pelajar bertumpu ke bazaar Ramadhan untuk membeli jamuan pemuas perut masing-masing.
  • 2 Ramadhan. Beberapa orang kawanku tidak hadir ke kelas hari ini. Bukan setakat kelas pagi, malah berlarutan sehingga kelas petang. Bila ditanya, jawapan mereka sudah ku agak; “Tak larat untuk ke kelas!”
  • 3 Ramadhan. Petangnya, aku balik dari kelas menuju ke asramaku. Di kejauhan ku melihat ada beberapa bilik pelajar sudah menyalakan lampu raya di tingkap bilik mereka. Persediaan menghadapi Syawal.
  • Beberapa hari selepasnya.. Lagu raya semakin kuat dan kerap didendangkan. Ramai pelajar ponteng kelas dengan member alasan penat berpuasa di samping masalah kesihatan di bulan Ramadhan (walaupun sebelum ni dia sihat wal’afiat). Tidak terlepas para pendidik.

Begitulah ragam pelajar di IPTA ku yang tercinta yang sempat dan masih terakam di minda. Bukanlah niat untuk memalukan pihak-pihak tertentu, tetapi inilah hakikat ragam umat Islam di Ramadhan al-Mubarak pada akhir zaman sekarang. Tidak ada sensitiviti langsung akan kehadiran Ramadhan. Bayangkanlah, jika sati minda ini terakam pelbagai kisah ‘pelik’ sepanjang Ramadhan ini, apatah lagi minda-minda lain yang mempunyai kesensitivitian yang tinggi terhadap Ramadhan al-Mubarak.

Sebelum tinta jari berhenti menaip dan menyiarkan isu ini, saya ingin meminta seribu dan sebanyak-banyak kemaafan andai kata ada yang terasa dengan tuliasan-tuliasan (taipan-taipan sepatutnya lebih sesuai!) di atas. Semuanya hanyalah ingin memberi pengajaran dan dengan niat untuk menyampaikan. Tiada niat lain, apatah lagi ingin membesarkan diri di kalangan pembaca. Nauzubillahi min zalik.

Sebelum berhenti, sama-samalah kita merenung sejauh mana Ramadhan ini kita pergunakan untuk meraih gelaran “Golongan yang menang di Ramadhan”.

Wallahu’alam. Assalamu’alaikum.


nukilan::umar al-mujahid as-sarawaki

No comments:

Post a Comment